10 Sept 2017

Universiti Sains Malaysia

Latar Belakang Institusi

Universiti Sains Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1969,  merupakan  universiti kedua tertua di negara ini.  Sebelum Akta Universiti dikuatkuasakan pada 4 Oktober 1971, Universiti Sains Malaysia dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.
Pada peringkat awal,  Universiti Sains Malaysia (USM) bermula dengan pengambilan seramai 57 orang pelajar sains.  Sejak itu, USM  membangun dengan pesatnya dan kini  USM mampu menawarkan pelbagai kursus pada  peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi kepada lebih 20,000 orang pelajar.  Kini, USM terkenal sebagai antara universiti tersohor di dalam mahupun di luar negara.

USM ditubuhkan hasil persetujuan yang  tercapai daripada resolusi yang   diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 1962, yang mencadangkan agar sebuah kolej universiti ditubuhkan di Pulau Pinang.  Sehubungan itu, sebidang tanah dikenal pasti di Sungai Ara sebagai tapak kolej universiti ini. Majlis Peletakan Batu Asas di tapak ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj  pada 7 Ogos 1967.

Walau bagaimanapun, Universiti Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1969 untuk  menampung keperluan kampus yang lebih luas dan persekitaran yang lebih kondusif bersesuaian dengan keperluan negara pada masa hadapan.

Pada bulan April 1969, Profesor Hamzah Sendut telah dilantik sebagai Naib Canselor.  Dua bulan kemudian, kumpulan pertama seramai  57 orang pelajar telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian mereka.  Memandangkan kawasan kampus di Sungai Ara belum  dibangunkan, maka  kumpulan pelajar ini ditempatkan di Maktab Perguruan Persekutuan Bukit Gelugur yang dipinjamkan daripada Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1971, kampus yang sepatutnya di Sungai Ara dipindahkan ke tapak yang ada sekarang,  iaitu di  Minden.  Lokasi baru seluas 500 ekar yang terletak di kawasan berbukit  ini begitu  mempesonakan dengan persekitarannya yang menghijau, ditambah pula dengan keindahan laut yang luas terbentang.

Sejak penubuhannyanya,  USM melaksanakan sistem pusat pengajian,  yang agak berbeza dengan sistem falkulti yang lazimnya diamalkan.  Yang uniknya sistem ini adalah bahawa pelajar setiap pusat pengajian dapat memenuhi keperluan pengijazahan khusus di dalam bidang yang dipilih dan pada masa yang sama, pelajar berpeluang mengikuti bidang pengajian dalam disiplin lain yang ditawarkan oleh pusat pengajian yang lain.  USM merupakan universiti pertama yang mengamalkan pendekatan antara bidang ini.  Melalui pendekatan ini,  USM dapat memastikan bahawa graduan yang dihasilkannya terlatih dan serba boleh.

Kampus Induk USM terletak di bahagian pulau Pulau Pinang dengan keluasan 591.72 ekar (240.13 hektar).  USM mempunyai dua kampus cawangan iaitu  Kampus Kesihatan yang terletak di Kubang Kerian (lebih kurang 300 km dari Kampus Induk)  dan Kampus Kejuruteraan yang terletak di Nibong Tebal (lebih kurang 50 km dari Kampus Induk). Pusat Pengajian Sains Perubatan,  Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Pusat Pengajian Sains Pergigian terletak di Kampus Kesihatan, manakala Kampus Kejuruteraan menempatkan  enam Pusat Pengajian Kejuruteraan. Hingga kini, lebih daripada 30,000 pelajar telah mendaftar di USM.

Mengapa USM terlalu istimewa?

Sejak penubuhannya, USM telah mengamalkan pendekatan yang inovatif dalam pendidikan tinggi. Antara pendekatan yang penting adalah penyimpangan daripada sistem fakulti yang lazimnya diamalkan dalam organisasi akademik lain. Sebaliknya, USM telah melaksanakan sistem pusat pengajian yang lebih meluas. Melalui sistem ini, subjek yang berkaitan dikelompokkan ke dalam rancangan pengajian dan di setiap pusat pengajian,  pelbagai kursus dan subjek disusun untuk membolehkan pelajar menerima ijazah yang khusus dalam subjek tertentu.

Pada permulaan, USM telah diberi mandat untuk menyediakan, menggalakkan dan membangunkan  pengajian tinggi dalam bidang   Sains Tulen,  Sains Gunaan, Sains Perubatan dan Kesihatan, Sains Farmasi,  Sains & Teknologi Bangunan, Sains Kemasyarakatan, Ilmu Kemanusiaan, dan Ilmu Pendidikan, di samping menyediakan penyelidikan dan pemajuan ilmu serta menyebarluaskan ilmu tersebut dalam bidang-bidang pengajian ini.

Sebagai satu daripada empat Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf sebagai Universiti Berintensifkan  Penyelidikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,  USM turut menawarkan peluang pendidikan dan penyelidikan kepada pelajar dan staf.  Satu daripada elemen utama dalam pembangunan kecemerlangan akademik di USM adalah penubuhan pusat dan unit penyelidikan.  Hal ini selaras dengan hakikat bahawa universiti  sememangnya sedar akan keperluan bidang penyelidikan dan pendidikan yang harus sentiasa terbuka terhadap permintaan masyarakat. Melalui penubuhan pusat dan unit ini, akan membuka  peluang yang lebih baik ke arah penyepaduan dan pembentukan jaringan.

Sebagai tambahan, USM turut menwarkan perkhidmatan perundingan, pengujian dan penasihatan kepada industri. Kesemua perkhidmatan ini tergolong di bawah kelolaan USAINS Holdings Sdn. Bhd, iaitu bahagian komersial USM.

Wawasan
"Mentransformasikan Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok"

Misi
USM ialah universiti perintis, berintensifkan penyelidikan rentas bidang yang memperkasakan bakat masa hadapan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka.

Nilai
Kualiti, kesetaraan, ketersediaan, ketercapaian, ketersanggupan dan kesesuaian  

Wawasan
Masa hadapan, Keunikan (kelainan), Kelestarian, Kemanusiaan, Kesejagatan, Perubahan, Pengorbanan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengambilan:

Student Admission Section
Academic Management Division, Registry, Chancellory Building
Universiti Sains Malaysia, 11800 Penang, Malaysia.
Tel: 1 300 888 876 / +604-6533196  | Fax +6046533328   |  Emel admissions@usm.my   |  Fb Student Admissions USM

Hubungi Kami
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Aras 1, Bangunan E42, Canselori II
Universiti Sains Malaysia
11800 USM Pulau Pinang, Malaysia
Tel.     : +604-653 3888
Faks    : +604-653 6484
Emel (pentadbiran) : hello@usm.my
Webmaster (teknikal): webmaster@usm.my
Laman Web:  http://www.usm.my