16 Jul 2018

UPSI Perkenal Program Smart Master Bantu Pelajar Parjana Dan PHD Tamatkan Pengajian



TANJUNG MALIM: Institut Pengajian Siswazah (IPS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memperkenalkan Program Smart Master bagi pelajar sarjana mod penyelidikan dan Smart Phd kepada pelajar Doktor Falsafah bagi membantu mereka menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.

Program berstruktur khas, Smart Phd itu bermula pada kemasukan Februari 2017 bagi pelajar Doktor Falsafah manakala Smart Master untuk pelajar sarjana mod penyelidikan bermula pada September 2017.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata program tersebut merupakan pembelajaran sokongan yang dijalankan melalui latihan secara berstruktur bagi membantu pelajar menjalankan penyelidikan dan penerbitan yang berimpak tinggi.
Beliau berkata bagi program tersebut, pelajar akan mengikuti bengkel khas dalam tempoh tiga semester bagi peringkat sarjana dan empat semester bagi peringkat Phd secara percuma.

"Bagi kemasukan September 2019, program ini akan diperluaskan kepada program sarjana secara mod campuran iaitu kerja kursus dan penyelidikan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu pada Isnin.

Beliau berkata program itu susulan kerjasama antara UPSI dan Bunda PAUD, Acheh, Indonesia pada 2010 bagi melatih pendidik dari Acheh melalui program sarjana secara berstruktur untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.

Program tersebut kemudian diperluaskan ke program Phd pada 2016.

Selain itu, katanya, UPSI juga telah bekerjasama dengan Philippines Normal University (PNU) pada 2016 bagi melatih pensyarah-pensyarahnya melalui program khas berstuktur Phd dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pendidikan Khas.

Hasil daripada program itu pensyarah dari PNU bakal menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun.

Mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian di postgrad.upsi.edu.my atau menghubungi IPS di talian 03-450 5538/5495 untuk maklumat lanjut dan pendaftaran dibuka sepanjang tahun.

-- BERNAMA
Sumber : AstroAwani