16 Jul 2018

Kemaskini Maklumat Pendapatan Sebelum 25 Julai 2018 Jika Ingin Tangguh Bayaran Balik PTPTN



KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikehendaki mengemas kini maklumat pendapatan mereka seandainya berhasrat untuk menangguh bayaran balik masing-masing.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pengemaskinian boleh dibuat bermula hari ini sehingga selewat-lewatnya 25 Julai 2018.

Jelasnya, semua peminjam yang masih mempunyai baki hutang perlu mengemas kini maklumat yang diperlukan secara atas talian melalui portal PTPTN (www.ptptn.gov.my) di ruangan 'Pengemaskinian maklumat pendapatan'.

"Selain itu, peminjam juga perlu mengemas kini maklumat lain termasuk alamat, nombor telefon, emel dan maklumat pekerjaan.

"Peminjam diingatkan agar mengemas kini maklumat yang sahih dan benar serta dibuktikan dengan dokumen sokongan apabila diminta. Audit akan dijalankan oleh PTPTN. Membekalkan maklumat yang tidak benar adalah salah dari segi undang-undang.

"PTPTN akan menganggap peminjam tidak berhasrat memohon penangguhan balik dan mereka tidak akan termasuk di dalam dasar baharu bayaran yang akan dibuat sekiranya tidak mengemas kini maklumat mereka," katanya semasa sidang media pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN di Menara PTPTN di sini, hari ini.


Sebelum ini PTPTN secara rasmi telah mengeluarkan seramai 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.

Proses itu dilaksanakan secara berperingkat semenjak 24 Mei dan telah selesai sepenuhnya pada 8 Jun lalu.

Wan Saiful turut menyeru semua peminjam untuk menanam budaya suka membayar balik serta mengelakkan sikap suka menangguh-nangguhkan pembayaran hutang.

"Ibu bapa juga digalakkan memastikan anak-anak mereka menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam membayar hutang-hutang mereka.

"Bagi PTPTN, niat di sebalik kemudahan penangguhan bayaran balik ini ialah untuk membantu anak-anak muda menghadapi bebanan kos sara hidup. Jangan pula ia disalah guna untuk melarikan diri daripada membayar hutang kerana ini adalah akhlak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Tambahnya, peminjam boleh melayari laman web PTPTN atau menghubungi talian Careline PTPTN di 03-2193300 untuk sebarang maklumat lanjut

Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Wan Saiful sebelum ini memberitahu, janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan akan dilaksanakan selepas kajian yang lebih teliti dijalankan. -
AstroAwani