3 May 2023

Perbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) Sehingga 10 Tahun

Perbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) sehingga maksima 10 tahun. Baru-baru ini Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui sidang media yang disampaikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah memperkenalkan dua inisiatif baru berkenaan pembaharuan lesen memandu.

 

Renew lesen memandu, Lesen Memandu Malaysia

Inisiatif pertama, orang ramai yang memiliki lesen memandu kini boleh memperbaharui LMM mereka sehingga maksimum 1o tahun. Mereka yang ingin memperbaharui lesen memandu sehingga 10 tahun sekaligus hanya perlu membayar sebanyak RM270 sahaja, dimana diskaun telah diberikan sebanyak 10%. Ini bermakna jika harga bayaran lesen sebanyak RM30 setahun, mereka hanya perlu membayar RM270 selama tempoh 10 tahun tersebut kerana diskaun telah diberikan sebanyak RM30.

 

Untuk menikmati inisiatif ini, orang ramai hanya perlu memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa mereka tidak melebihi 1 tahun. Orang ramai masih boleh memperbaharui LMM mereka mengikut pilihan masing-masing samada ingin tempoh 1 tahun, 2 tahun, 5 tahun atau diantara tempoh 1 hingga maksimum 10 tahun. Inisiatif ini hanya digunapakai kepada warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang atau kad MyKAS.

 

Inisiatif kedua yang disampaikan adalah, kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh. Melalui inisiatif ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memberikan kebenaran khas kepada pemegang LMM yang telah tamat tempoh untuk memperbaharui lesen memandu mereka tanpa perlu menduduki semula ujian memandu.

 

Kebenaran khas ini hanya sah kepada  pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh bermula 1 Januari 2018 dan berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Syarat dan peraturan sedia ada akan berkuatkuasa semula bermula 1 Januari 2024 dimana mereka  yang telah tamat tempoh sah laku lesen dalam jangka masa tertentu perlu menjalani ujian memandu semula.

 

Inisiatif ini dibuat mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang mengekang rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat pulang untuk memperbaharui LMM mereka. Inisiatif ini hanya digunapakai kepada warganegara Malaysia sahaja dan bukan kepada warga asing. Orang ramai boleh mula menikmati inisiatif ini bermula 8 Mei 2023 di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Malaysia di seluruh negara.