26 Mar 2020

i-Lestari: Cara Pengeluaran Akaun 2 KWSP

i-Lestari: Cara Pengeluaran Akaun 2 KWSP, Sehubungan dengan keadaan semasa negara yang tidak menentu berikutan penularan wabak Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan dan dilanjutkan sehingga 14 April 2020, telah menyebabkan banyak golongan yang terjejas dari segi kewangan bagi menampung keperluan keluarga mereka sepanjang tempoh PKP ini.

Sehubungan dengan itu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengaktifkan kemudahan i-Lestari untuk memudahkan para pencarum mengeluarkan duit dari akaun 2 untuk mengurangkan bebanan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.



Panduan Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari

Permohonan Pengeluaran i-Lestari boleh mula dibuat bermula 1 April 2020 dimana terdapat beberapa cara atau proses yang boleh dipilih oleh ahli bagi memudahkan pengeluaran. Berikut adalah cara untuk memohon Pengeluaran i-Lestari iaitu:

a. Secara dalam talian iaitu e-Pengeluaran melalui i-Akaun ( bermula 1 Mei 2020 )
b. Secara e-mel kepada ilestarimohon@epf.gov.my ( Borang akan dimuat naik)
c. Secara pos/pos berdaftar ke alamat :

            Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
            Karung Berkunci No 220,
Jalan Sultan 46720 Petaling Jaya ( Pengeluaran i-Lestari )

Ahli perlu membuat permohonan sekali sahaja dan pembayaran Pengeluaran i-Lestari akan dikreditkan secara berulang (recurring) ke dalam akaun bank ahli.

Pemohon disarankan untuk membuat permohonan secara dalam talian kerana proses yang mudah dan cepat (dalam masa 3 hari) manakala permohonan secara  manual  akan mengambil masa kerana proses pengesahan akan dilaksanakan secara manual.

Kemudahan pengeluaran i-Lestari:

a. Fasiliti pengeluaran dari Akaun 2 ahli
b. Sehingga jumlah maksimum RM500 sebulan
c. Amaun pengeluaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Mei 2020
d. Untuk tempoh maksimum 12 bulan

Antara syarat kelayakan untuk membuat Pengeluaran i-Lestari adalah seperti berikut:

a. Warganegara Malaysia dan Pemastautin Tetap
b. Berumur bawah 55 tahun
c. Mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 2 tertakluk kepada baki Akaun 2 semasa proses pembayaran pada bulan berkenaan dibuat
d. Bukan Warganegara Malaysia ( Fasa 2)

Bagi ahli yang ingin membuat permohonan pengeluaran secara online, anda haruslah mempunyai atau telah mengaktifkan i-Akaun online anda untuk memudahkan permohonan.  
Sekiranya belum mempunyai i-Akaun anda boleh rujuk link dibawah ini. Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan masih berkuatkuasa, sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi pihak KWSP berdekatan anda. 


Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini berkenaan Pengeluaran i-Lestari sila lawat laman web rasmi KWSP di alamat www.kwsp.gov.my