20 Oct 2019

Masalah Utama Siswazah Sukar Dapat Kerja


Isu pengangguran di kalangan siswazah lepasan universiti di negara kita sememangnya sudah menjadi isu yang hangat diperkatakan sejak dulu lagi. Mengikut stastik terbaru pada tahun 2019,

‘’Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.’’ Dipetik dari Berita Harian Online Ahad, 7 Julai 2019 .

Jika dilihat dari statistik ini memperlihatkan bahawa kadar pengangguran dikalangan siswazah masih menjadi masalah yang sering berlaku pada setiap tahun. Persaingan untuk mengisi jawatan kosong bukan sahaja berlaku dikalangan siswazah menganggur malah mereka juga bersaing dengan lepasan sekolah menengah dan mereka yang sudah berpengalaman dalam bidang pekerjaan selama bertahun-tahun.

Sebelum melakukan pencarian pekerjaan, sebenarnya perancangan strategi dan persediaan yang cukup rapi haruslah dilakukan untuk menjamin hasil yang baik.



Masalah Utama Siswazah Gagal Dalam Permohonan Kerja

Sememangnya banyak penyebab atau masalah yang menyukarkan pemohon berjaya dalam permohonan kerja selain daripada pemohon terlalu memilih kerja dan tangga gaji, di sini disenaraikan 3 masalah utama yang memang dihadapi oleh kalangan siswazah dan penganggur. Antara masalah utama yang dihadapi ialah:


1. Resume Yang Tidak Menarik

Seperti yang diketahui umum resume atau Curriculum Vitae (CV) mewakili diri kita sehingga berjaya dipanggil untuk temuduga. Resume haruslah menarik, lengkap dan padat dan tidak perlu panjang sehinggakan memuatkan maklumat yang tidak releven untuk jawatan yang dipohon. Kesilapan teknikal dan tatabahasa dalam membuat resume akan memberi gambaran negatif terhadap diri kita sehinggakan pihak syarikat tidak berminat untuk memanggil untuk temuduga.

Terdapat banyak laman web yang tersedia dalam menghasilkan resume terbaik yang boleh adaptasikan. Seharusnya pemohon lebih peka untuk mencari maklumat dalam menghasilkan resume yang terbaik dan serta mendapatkan tips yang berguna. Pastikan resume / CV tidak mempunyai kesalahan teknikal atau ejaan, maklumat yang teratur dan menarik, sesuai dengan jawatan yang dipohon serta tidak terlalu panjang.

2. Masalah Dalam Berkomunikasi

Selalunya komunikasi merupakan masalah yang dihadapi oleh kebanyakkan siswazah dalam temuduga kerja contohnya gagal berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sekiranya temuduga dijalankan dalam Bahasa Inggeris menyebabkan calon tidak lancar dalam menjawab soalan yang diajukan. Ini termasuk pertuturan yang tidak jelas, ayat yang tidak tersusun, dan terlalu gementar sehingga tidak dapat bertutur dengan sempurna kerana kurang keyakinan serta lemah dalam Bahasa Inggeris.

Dalam menghadapi masalah komunikasi ini, calon haruslah meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran berkomunikasi, serta tingkatkan keyakinan diri agar dapat menghadapi temuduga. Latihan yang berkesan serta menghadiri kursus-kursus dalam berkomunikasi juga akan membantu dalam meningkatkan keyakinan diri.

3. Tidak Bersedia Semasa Hadir Sesi Temuduga

Perancangan dan persediaan merupakan elemen penting sebelum menghadiri temuduga. Persiapan rapi dari segi fizikal dan mental, penampilan dan pengetahuan dalam bidang dipohon serta latihan akan membantu menghadapi temuduga.

Kurangnya persediaan menyebabkan penemuduga mengganggap calon tidak berminat dengan organisasi serta jawatan yang dipohon kerana bersikap sambil lewa dan mengambil mudah sesi temuduga tersebut seolah-olah tidak memerlukan jawatan tersebut.

Seharusnya calon haruslah perbaiki gaya dan penampilan diri supaya lebih berkeyakinan dan menarik, membuat latihan yang cukup serta membuat kajian dengan lebih terperinci tentang jawatan dan organisasi yang dipohon.



This Is The Newest Post