12 Sept 2017

Universiti Putra Malaysia

Sejarah

Rentetan sejarah UPM dari tahun 1931 sehingga 2011 telah memperlihatkan transformasi dari sebuah sekolah pertanian kecil yang kini gah menjadi salah sebuah Universiti Penyelidikan dan pengajian terunggul di Malaysia, yang disegani di persada antarabangsa dan tempatan.

Latar Belakang UPM

Universiti Putra Malaysia mula ditubuhkan sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931. Ia dibangunkan di kawasan seluas 22 ekar di Serdang dan menawarkan dua program sahaja pada masa itu; Program Diploma 3 tahun dan Program Persijilan 1 tahun di dalam bidang pertanian. Tanggal 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian ini telah dinaiktaraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu.  Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia seterusnya tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang ini bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya. Dr. Mohd. Rashdan bin Haji Baba, yang merupakan pengetua Kolej Pertanian Malaya, dilantik sebagai Naib Canselor di bawah Seksyen 18, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Universiti Pertanian Malaysia memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973 dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga fakulti pengasas dan satu bahagian asasi iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Perhutanan, Fakulti Pertanian dan Bahagian Sains Asasi, yang pada masa itu menekankan bidang perhutanan dan veterinar selaras dengan dasar dan keperluan Negara. Pada tahun 80-an, UPM mengembangkan bidang pengajian ke bidang Sains dan Teknologi (S&T). Pada tahun 3 April 1997, nama Universiti ditukar dari Universiti Pertanian Malaysia ke Universiti Putra Malaysia oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, untuk menggambarkan status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.

Sebagai sebuah universiti yang terkemuka dan menjadi Pusat Pembelajaran dan Penyelidikan yang utama pada peringkat antarabangsa, UPM kukuh berpegang pada komitmen untuk terus berusaha mencapai kemajuan dan menjadi universiti yang dihormati. Dalam usaha untuk mencapai keunggulan itu, kami warga UPM bersatu hati mengikuti tuntutan visi dan misi serta berkongsi tanggungjawab mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

VISI » Menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.

MISI » Memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu

MATLAMAT UPM

Matlamat 1
Mempertingkat kualiti dan daya saing graduan
Matlamat 2
Penjanaan nilai melalui ekosistem RDCE yang mantap dan lestari
Matlamat 3
Melonjak perkhidmatan jaringan industri dan masyarakat
Matlamat 4
Memperkasa UPM sebagai pusat kecemerlangan pertanian
Matlamat 5
Mempertingkat kualiti tadbir urus

DASAR KUALITI
Staf Universiti Putra Malaysia beriltizam ke arah kecemerlangan melalui penerapan budaya kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan sokongan untuk mencapai matlamat pelan strategik universiti.

Untuk mengetahui lanjut tentang pengambilan boleh rujuk dibawah atau melayari laman web  http://www.upm.edu.my/

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
marketing@upm.edu.my