5 Aug 2017

Teknik Menetapkan Matlamat Kewangan Tahun 2017

Adakah matlamat atau impian anda sudah dipenuhi tahun lalu? Pernahkah anda bermimpi atau membayangkan anda berjaya mencapai matlamat anda? Matlamat kehidupan hampir sama seperti kita meletakkannya dalam mencapai matlamat kewangan kita. Walaupun setiap seorang daripada kita mempunyai latarbelakang umur, pendapatan dan impian kewangan yang berbeza, tapi kita masih boleh menetapkan matlamat kewangan dengan teknik yang betul.

Teknik 1: Tetapkan Matlamat

Sekiranya kita mempunyai hutang piutang yang banyak, kita haruslah berazam melangsaikan hutang-hutang tersebut. Oleh itu, kita haruslah tetapkan matlamat menyelesaikan baki hutang dalam tempoh tertentu. Tidak kiralah samada dalam jangka masa pendek atau panjang. Paling penting setelah selesai jangan cuba-cuba membuat hutang yang baru tetapi mulalah membuat simpanan atau membeli polisi perlindungan.

Teknik 2: Pastikan Benar-benar Ingin Capai Matlamat Tersebut

Berusaha untuk memastikan matlamat yang ditetapkan tercapai dan ditunaikan. Kita boleh mengubah bajet seharian kita seperti membawa bekal ke pejabat, membeli belah di pasaraya kecil dan barang yang diperlukan sahaja, memasak sendiri di rumah atau menghadkan percutian dan lain-lain lagi cara.
Teknik 3: Kongsikan Matlamat

Seharusnya matlamat ini dikongsikan dengan suami atau isteri dan dengan anak-anak. Penglibatan ahli keluarga penting untuk membantu mencapai matlamat kewangan kita. Dalam hal ini, kita menggalakkan ahli keluarga kita berjimat cermat dan tidak membazir seperti penggunaan elektrik, air dan lain-lain lagi.
Teknik 4: Tuliskan Matlamat Anda

Menulis matlamat sendiri adalah cara berkesan untuk dipraktikkan. Cubalah menulis azam dan matlamat kewangan didalam buku catatan seharian atau letakkannya di tempat yang boleh dilihat setiap hari supaya dapat menanamkan hasrat mencapai matlamat tersebut.
Teknik 5: Kekalkan Matlamat dan Tidak Putus Asa

Dalam masa kita berusaha mengejar matlamat, sesekali kita diuji dengan pelbagai dugaan seperti keluarga ditimpa musibah, kereta rosak atau sebagainya. Kita perlu mengekalkan matlamat dan jangan mudah berputus asa. Rujuk kembali bajet yang telah dirancang, dan sesuaikan dengan situasi yang berlaku. Sentiasalah berusaha untuk mencari peluang bagi menambahkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan.